Saturday 29 May 2021

PENGGUNAAN LAGU PARODI DALAM PDPC MAMPU MEMBERIKAN IMPAK YANG MANTAP DAN BERKESAN

 

 

 

 

 

 

 

 

PENGGUNAAN LAGU PARODI DALAM PDPC

MAMPU MEMBERIKAN IMPAK YANG MANTAP DAN BERKESAN

 

 

 

 

 

 

 

OLEH

MOHAMAD SAFUAN BIN ROZAK

SK JENGKA PUSAT 2

cikgusafuan@gmail.com

 

 

 

 

 

 

3.         ABSTRAK

           

Lagu parodi ialah lagu yang diubah liriknya daripada sesebuah lagu. Lagu parody mudah untuk diingat dan dihafal kerana manusia telah biasa mendengar irama dan melodinya. Semakin popular sesebuah lagu itu, semakin mudah untuk diikuti. Bukanitu sahaja, tahap populariri sesebuah lagu itu mampu menarik minat para pendengar. Penggunaan lagu parody dalam PDPC sains misalnya mampu menambahkan daya ingatan terhadap isi kandungan dan fakta dalam subjek ini. Memandangkan kandungan silibus yang agak padat, kaedah penggunaan lagu parodi sangat membantu para guru dan murid dalam sesi pembelajaran. Ia bukan sekadar hiburan tetapi ia juga merupakan bentuk didik hibur yang mampu mendatangkan impak yang sangat berkesan

 

           

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

PENGGUNAAN LAGU PARODI DALAM PDPC MAMPU MEMBERIKAN IMPAK YANG MANTAP DAN BERKESAN

“JOM HAYATI, LAGU PARODI”

“MURID MINATI, PASTI MENJADI”

 

4.1 PENGENALAN

            Lagu merupakan gubahan seni nada atau suara dalam urutan, kombinasi, dan hubungan temporal (biasanya diiringi dengan alat muzik) untuk menghasilkan gubahan muzik yang mempunyai kesatuan dan kesinambungan (mengandungi irama). Lagu merupakan suatu perkara yang diminati dan digemari oleh kebanyakan orang. Jarang sekali kita dengar bahawa seseorang itu tidak menyukai lagu kerana biarpun seseorang itu tidak menyukai sesuatu genre dia mungkin ada meminati genre yang lain. 

Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, perkataan lagu membawa maksud gubahan muzik yang biasanya dengan seni kata yang dinyanyikan oleh seseorang. Tidak dapat dinafikan lagu sangat mempengaruhi kehidupan seseorang. Ada kalanya apabila kita mendengar sesebuah lagu,kita akan teringat dan terkenang akan sesuatu peristiwa yang dilalui. Begitulah besarnya pengaruh lagu dalam kehidupan. Biarpun zaman silih berganti dengan pelbagai genre yang sentiasa bertukar ganti, irama dan lagu akan terus didengari oleh setiap generasi. Justeru penggunaan lagu dalam pengajaran dan pemudahcaraan (PDPC) merupakan suatu alternatif kepada elemen yang membantu menghasilkan PDPC yang mantap, padu, menghiburkan dan berkesan.

 

4.2 PERNYATAAN MASALAH    

4.2.1 ANALISIS DAN HURAIAN ISU

            Antara masalah yang dikenalpasti dalam kalangan murid pada masa kini ialah kurangnya minat belajar dan kesukaran untuk mengingati pelbagai fakta dan isi kandungan subjek yang dipelajari. Skop Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) yang agak padat menyebabkan murid perlu mengingat pelbagai fakta dan perkara yang terkandung dalam DSKP. Oleh itu, guru perlu memikirkan sesuatu yang kreatif serta boleh membantu menarik minat murid dalam sesi pembelajaran.

Era gajet dan teknologi pada masa kini memaksa golongan pendidik untuk bergerak selari dengan peredaran masa. Umumnya kita sedar bahawa generasi kini lebih cenderung kepada visual berbanding literal. Justeru pendekatan secara interaktif melalui platform di media sosial mampu memberi tarikan kepada murid. Penggunaan lagu parodi dalam sesi PDPC merupakan contoh idea yang kreatif bagi mengatasi masalah-masalah ini.

 

 

4.2.2 IDEA DAN KREATIVITI YANG DIGUNAKAN

 

            Gubahan lagu-lagu  popular yang meniti di bibir murid merupakan idea utama dalam amalan terbaik ini. Guru perlulah bijak menghasilkan lirik dengan menggunakan lagu-lagu yang sesuai. Lirik yang dihasilkan mesti mengandungi kandungan-kandungan yang penting yang didapati dalam sesuatu topik.

            Lirik yang baik perlu disusun dengan lenggok bahasa yang manarik bagi membolehkannya mudah untuk diingati. Contohnya dalam lirik “Lagu Bunyi” ini,

            “Masuk ke gua itu

            “Terdengar gema padu”

            “Bunyi ultrasonik hanya haiwan yang tahu”

            “Ultrasonik digunakan dalam bidang perubatan”

            “Pabila nak kesan ikan, sonar digunakan”

            “Itu fenomena pantulan bunyi kawan” 

Penggunaan huruf dan bunyi “u” dan “n” di belakang setiap ayat dapat menyedapkan lagi lirik yang dihasilkan. Ini akan menambahkan lagi daya penarik bagi sesebuah lagu yang digubah.

Sebenarnya tidak semestinya para guru mesti menggunakan lagu-lagu yang terkini untuk digubah. Lagu-lagu lama dan lagu rakyat juga boleh digubah dengan baik kerana murid generasi masa kini sememangnya banyak terdedah kepada dunia muzik kontemporari yang luas.

 

 

 

4.3 OBJEKTIF AMALAN TERBAIK

Antara objektif utama penggunaan lagu parodi dalam PDPC ialah

·         Membantu murid mengingati fakta dalam sesuatu topik

 

-       Kandungan fakta yang terlalu padat dalam silibus pada masa kini memaksa para guru mencari idea baharu bagi membantu murid dalam mengingati fakta.

 

·         Meningkatkan pencapaian murid dalam penilaian

 

-       Apabila murid dapat mengingati fakta melalui lagu, maka ia sudah pasti memudahkan murid melalui dan menghadapi sesuatu ujian

 

·         Menarik minat murid dalam pembelajaran

 

-       Lagu ada suatu bentuk hiburan yang pastinya menarik minat kebanyakan orang

 

4.4 PENDEKATAN

4.4.1 KAEDAH PENYELESAIAN MASALAH

            Lagu parodi boleh digunakan dalam sesi PDPC, PDPR dan juga sangat sesuai untuk strategi ‘flipped classroom”. Penggunaan lagu bukan sekadar dapat menarik minat murid bahkan dapat memberikan suasana yang segar dan ceria dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

            Lagu yang dihasilkan oleh guru seharusnya divideokan. Bagi memudahkan akses kepada pengguna ia seharusnya dimuatnaik ke media sosial seperti Youtube bagi memudahkan carian. 

            Selain itu, guru juga boleh menggalakkan murid untuk menghasilkan lirik sendiri bagi topik-topik pembelajaran yang akan dan telah dipelajari. Ini akan menambahkan lagi daya ingatan kelompok murud tersebut di samping dapat menghasilkan murid yang kreatif dan inovatif.

 

 

 

4.4.2 PROSEDUR ATAU LANGKAH PENYELESAIAN MASALAH

            Lagu parodi untuk PDPC boleh digunakan bila-bila masa sahaja sepanjang PDPC. Ianya sesuai dinyanyikan semasa permulaan untuk set induksi, semasa pertengahan untuk penerangan konsep dan boleh juga digunakan semasa penutup sesi PDPC.

 

4.5 HASIL DAN IMPAK

            Suatu kajian telah dijalankan dalam kalangan guru, ibu bapa, murid dan juga pegawai-pegawai Kemenrerian Pendidikan Malaysia (KPM) terhadap keberkesanan penggunaan lagu parodi dalam sesi PDPC

            Seramai 335 responden telah mengambil bahagian dalam kajian ini. Berikut merupakan dapatan daripada kajian tersebut..

·         95.8 % menyatakan bahawa Lagu Parodi Sains memudahkan pembelajaran serta tugas mereka.


·         95.8 % menyatakan bahawa pembelajaran melalui Lagu Parodi memudahkan murid untuk mengingati fakta.



·         98.8% responden menyatakan bahawa penggunaan lagu parodi dapat memudahkan proses PDPC.

 


·         94.6 % responden pula menyatakan bahawa penggunaan lagu parodi dapat memberikan impak kepada keputusan ujian dan peperiksaan murid.


 


Suatu yang cukup menarik tentang hasil dan impak amalan penggunaan lagu parodi ini dalam peperiksaan UPSR 2019. Sekurang-kurangnya 5 buah lagu parodi telah membantu murid bagi menjawab soalan-soalan dalam peperiksaan tersebut.

            Sebagai contoh lirik dalam “Lagu Haba” yang berbunyi “Jika bertambah haba, maka bertambah suhu. Jika berkurang haba, berkurangnya suhu” telah membantu murid untuk menjawab soalan nombor 29 kertas 1.

            Lirik daripada “Lagu Sistem Suria” yang berbunyi “Sang komet beku dan debu” pula telah membantu murid menjawab soalan berkenaan dengan komet iaitu soalan nombor 31.

            Sementara itu, lirik daripada “Lagu #Mikroorganisma” yang berbunyi “Yis, yis, yis bikin roti tempe tapai, bakteria dalam yogurt, dalam keju vaksin dan antibiotik” pula telah membantu murid menjawab salah satu daripada soalan di kertas 2.

            Ternyata lagu parodi bukan sahaja berbentuk huburan, bahkan ia telah memberikan impak yang cukup besar dalam pembelajaran.

 

 

4.6 RUMUSAN

            Secara rumusannya, penggunaan lagu parodi secara kreatif mampu memudahkan serta menghasilkan impak yang sangat berkesan dan positif. Amalan penggunaannya semasa sesi PDPC mahupun PDPR mampu mengubah suasana pembelajaran.

            Dalam era pembelajaran abad ke 21 ini, suasana pembelajaran yang menyeronokkan sememangnya suatu keperluan dan seharusnya wujud di dalam setiap bilik darjah.

            Guru perlu menjadi lebih kreatif dan inovatif bagi menghasilkan karya yang baik, berkualiti dan mampu menjelmakan tarikan kepada murid. Jika perkara seumpama ini dapat dijadikan amalan maka keseronokan belajar akan terhasil seterusnya mandatangkan impak yang dimahukan.

 

 KOLEKSI LAGU-LAGU PARODI SAINS CIKGU SAFUAN

=========================================

Berikut merupakan tajuk lagu dan pautan video bagi lagu-lagu tersebut

 

1. LAGU #MIKROORGANISMA

https://youtu.be/A1X4j8gI4ic

 

2. LAGU MAGNET

https://youtu.be/vtfS2NjBXwc

 

3. LAGU SISTEM SURIA

https://youtu.be/bllUI3wTGp8

 

4. LAGU JOM KITA UKURNYA

https://youtu.be/7YsOziau_Yg

 

5. LAGU KELAJUAN

https://youtu.be/IbaBigqppVk

 

6. NYANYI2 LAGU HABA

https://youtu.be/QobHNmdg4ko

 

7. LAGU KESTABILANMU KEKUATANKU

https://youtu.be/f75u5TMVuLs

 

8. LAGU CAHAYA

https://youtu.be/9dbtUp3N1eo

 

9. LAGU KITARAN AIR

https://youtu.be/KdXsMP0Ts70

 

10. LAGU BURUJ

https://youtu.be/-j3abhwpsmI

 

11. LAGU BUNYI

https://youtu.be/Ib7G1BBeqjg

 

12. LAGU MESIN RINGKAS

https://youtu.be/817rmn5XxqM

 

 

 

           

 

 

 

7 AKTIVITI AMALI SAINS MUDAH UNTUK KEMAHIRAN PROSES SAINS "KPS"

 7 AKTIVITI AMALI SAINS MUDAH UNTUK KEMAHIRAN PROSES SAINS "KPS" Assalamualaikum Di sini saya kongsikan 7 Amali Ringkas untuk peng...